Thursday, January 22, 2009



Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan cili varieti baru dinamakan Semerah pada majlis Perhimpunan Warg Tani 2008 di Serdang baru-baru ini sambil diperhatikan oleh Mustapa Mohamad (kiri) dan Dr. Abd. Shukor Abdul Rahman.


Bagi masyarakat Malaysia tidak lengkap rasanya sekiranya makanan yang disajikan tidak ditambahkan dengan kepedasan dan keenakan rasa cili merah atau cili padi.Ini kerana, rata-rata rakyat di negara ini, tidak mengira bangsa memang sudah ‘biasa’ dengan makanan pedas.Ini satu senario yang menunjukkan adanya peningkatan dari segi permintaan individu mahupun pembukaan industri perusahaan produk berasaskan cili yang kian banyak diusahakan, sebagai contoh industri sos cili.Namun, tahukah anda bahawa negara terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi tujuan mengimport cili demi memenuhi keperluan permintaan cili padi tempatan.Pada 2001, Malaysia membelanjakan RM39 juta bagi tujuan mengimport cili dari Thailand.Di samping itu, berdasarkan maklumat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 2004, kemasukan cili padi dari Thailand mencecah 100 tan metrik seminggu.Ini berlaku berpunca daripada kekurangan pengusaha tempatan untuk menceburi serta mengusahakan sektor penanaman cili padi atau lebih dikenali dengan cili kampung ataupun dipanggil burung di negara ini.Pada masa yang sama, faktor varieti atau benih yang kurang berkualiti menjadi punca utama mengapa produktiviti cili tempatan tidak dapat berkembang maju.
Menerusi benih yang biasa dan tidak berkualiti, tempoh matang menjadi panjang, hasil produktiviti juga berkurangan, mudah terdedah kepada jangkitan penyakit dan virus selain berbuah tidak menentu masa.Maka ini jelas membantutkan sektor perusahaan cili padi tempatan sekali gus mempengaruhi hasil pengeluaran cili bagi memenuhi keperluan dan permintaan cili negara.Faktor tersebut juga mempengaruhi perusahaan tersebut hanya dijalankan di ‘belakang rumah’ dan kecil-kecilan sekali gus menyebabkan ia tidak dikelolakan secara komersial oleh masyarakat.Oleh yang demikian, selari dengan tanggungjawabnya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengambil inisiatif dalam menjalankan penyelidikan yang komprehensif terhadap pembangunan varieti atas cili padi.
Penyelidikan
Hasil usaha dan penat lelah sekumpulan tenaga penyelidik MARDI selepas menjalankan penyelidikan selama 17 tahun ke atas pembangunan varieti cili padi.Satu varieti cili padi baru yang diberi nama Semerah itu telah berjaya dihasilkan dan keputusannya amat membanggakan.Penghasilan Semerah itu juga telah meletakkan revolusi pertanian negara untuk maju setapak lagi sekali gus membawa banyak kelebihan dan juga impak ekonomi yang positif bukan sahaja kepada para petani malah kepada kerjaan kita sendiri.Menurut Penyelidik Prinsipal Biak Bakaan Pusat Penyelidikan dan Hortikultur MARDI, Dr. Melor Rejab, hasil pembangunan varieti cili terbaru itu jelas berupaya untuk membangunkan serta mempertingkatkan pengeluaran hasil cili padi tempatan kerana dari varieti tersebut ia mendatangkan banyak kelebihan dan keistimewaan.“Antara keistimewaan Semerah adalah seperti ia berkemampuan untuk mendatangkan hasil yang lebih banyak, mempunyai tempoh matang yang lebih singkat dan mampu berbuah secara serentak.“Cili padi (Semerah) ini adalah hasil pembangunan varieti bagi menghasilkan cili baru dari genotip yang berasal dari luar negara,’’ katanya ketika ditemui di Perhimpunan Warga Tani 2008 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, baru-baru ini.Cili varieti baru itu diisytiharkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abdul Shukor Abdul Rahman.Jelas Dr Melor, varieti Semerah dibangunkan melalui kaedah pemilihan baka sepokok (SSD) daripada bahan genetik dari Mexico.Berdasarkan morfologi buah dan bunga, cili Semerah tergolong dalam spesies Capscium annuum.Tambah beliau lagi, pewujudan varieti cili Semerah nyata boleh dimanfaatkan oleh para pengusaha dan juga negara dari segi kualiti dan kuantiti yang mampu dihasilkannya selain dijamin mutunya.Menariknya, varieti Semerah itu mampu menghasilkan produktiviti lebih dua atau tiga kali ganda berbanding varieti cili padi biasa.Lebih membanggakan, cili Semerah ini juga berbuah secara serentak dan ini secara pastinya menjimatkan masa peladang dan pengusaha daripada perlu memetik cili yang pada kebiasaannya berbuah secara tidak menentu.Seterusnya, kos perladangan dari segi wang ringgit dan masa dapat dikurangkan.
Tahan penyakit
Selain itu, salah satu kelebihan cili Semerah ini, ia juga mampu menghasilkan cili walaupun dijangkiti penyakit ataupun virus.Dengan pengenalan varieti Semerah itu, boleh dikatakan satu hasil yang boleh dibanggakan kerana ia bukan sahaja mampu menampung keperluan cili tempatan.Ciri-cirinya yang menarik itu juga diharap dapat meningkatkan pembangunan terutamanya industri penanaman cili tempatan.Secara tidak langsung, ia membantu para pengusaha tanaman cili dan sayur dalam peningkatan pendapatan tahunan mereka disebabkan unjuran yang lebih panjang (11 bulan semusim) berbanding varieti cili padi biasa.Selain itu juga, peningkatan dalam pengeluaran hasil seterunya akan membantu menjadikan harga cili lebih stabil dan penyediaan bekalan cili yang lebih konsisten.
Ini akan membuatkan lebih ramai individu tempatan untuk mengusahakan tanaman cili padi secara besar-besaran dan komersial.Pewujudan varieti Semerah ini turut membuka peluang kepada negara untuk bersaing dengan negara jiran iaitu Thailand yang berupaya untuk menghasilkan cili pada kos yang lebih rendah selain mampu mengurangkan kadar import cili dari negara berkenaan.

No comments:

Post a Comment