Saturday, November 14, 2009

Pilih Pertanian Miskipun Ada 3 Ijazah Sarjana



Azizunadi Zainudin memangku 2 ekor anak kambing biri- biri baka Australia dan juga menunjukkan ternakan ikan keli air tawarnya yang dipelihara 3 buah kolah diladangnya. - Bernama
KETIKA penulis tiba di kediamannya di Kampung Hayat, Simpang Pelangai, terletak kira-kira 46 km dari Bentong, beliau sedang bertukang di kandang kambingnya.
"Beginilah kalau kerja sendirian, semua kena buat sendiri," kata Azizuzanadi Zainuddin, 39, sambil mengetuk papan untuk dijadikan bekas makanan kambing-kambing baka Feral dari Australia.
Berbanding kambing lain yang begitu riuh mengembek, kambing-kambing Australia ini berkumpul di satu sudut ketika Azizuzanadi atau lebih mesra dengan panggilan Among, membuat kerja tukangannya.
"Kambing-kambing Australia ini baru saya dapat beberapa hari lalu, mungkin mereka tak biasa lagi dengan kandang ini, itu sebab mereka diam sahaja," kata Among berseloroh.
Kandang kambing dua tingkat itu siap dibina Mac 2008. Kos membina kandang mencecah RM90,000 dan sebahagian besar wang diperoleh daripada pinjaman Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dan bantuan PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan Pelangai).
Di bahagian bawah kandang terdapat stor menyimpan makanan, peralatan dan keperluan.
Di lantai bawah itu juga Hadi membakar rumput kering yang menghasilkan asap untuk menghalau agas dan nyamuk.
Tahi kambing turut dikumpul di lantai bawah dan dibakar untuk dijadikan baja.
Di bahagian atas terdapat beberapa petak kandang yang mengasingkan kambing ternakan mengikut jenis, saiz dan umur.


PENDIDIKAN TINGGI


Mendengar sketsa liku-liku kehidupan penternak muda ini, anak seorang pesara tentera, menunjukkan beliau bukan calang-calang orangnya dari segi pencapaian akademik.
Beliau bersekolah agama dari peringkat sekolah rendah hingga menengah. Tamat tingkatan lima, beliau memilih menyambung pelajaran di sekolah pondok, Sekolah Agama Rakyat Al-Nadhah, Kota Sarang Semut, Kedah selama dua tahun.
Meskipun mendapat peluang untuk ke Universiti Al Azhar, Hadi memilih untuk ke sekolah Pondok Sungai Jagung, Pendang, Kedah dan belajar selama tiga tahun lagi.
Tamat belajar di sekolah pondok, beliau pulang ke kampung halamannya dan membuat kerja kampung selama dua tahun termasuk menoreh getah di kebun datuk dan neneknya serta menanam pisang.
Meskipun bersekolah agama dan pondok, anak muda ini berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis pada 1992 dalam bidang pengajian perniagaan

Tamat belajar di UiTM, beliau melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan di Northwood University, Midland, Michigan atas tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Tamat pengajian peringkat ijazah, beliau tidak terus kembali ke tanah air. Anak perantau ini tidak mahu melepaskan peluang menggali pengalaman bekerja di negara asing.
Beliau bukan setakat melakukan dua kerja tetapi juga menyambung pengajian di peringkat sarjana, dengan belanja sendiri, bukan satu tetapi tiga, iaitu Masters in Information System, Masters in International Business dan Masters in Risk Management.
Beliau mengikuti pengajian ketigatiga ijazah sarjana itu di Universiti Concordia, Mequon, Wisconsin.
Tamat pengajian ijazah sarjana, Hadi tinggal beberapa tahun lagi di Amerika dan memulakan perniagaan pengedaran kebanyakannya produk Industri Kecil dan Sederhana (IKs) Malaysia serta produk etnik Asia da Mexico.
"Saya menyewa sebuah gudang di Greendale, Wisconsin untuk perniagaan saya ini. Sambutan untuk produk Malaysia dan Asia memang bagus tetapi yang mengecewakan saya ialah bila saya dapat tawaran membekal sos masam manis dalam kuantiti yang besar untuk Walmart, rangkaian pasaran yang hebat di Amerika, tak ada pihak di tanah air yang sanggup membekalkan saya produk berkenaan," keluh Among.


USAHAWAN TANI

Setelah hampir 10 tahun di perantauan, Among kembali ke tanah air pada April 2007.
"Kalau makan gaji, kita yang lelah bekerja tetapi orang lain yang mengecap kejayaannya," jelas beliau.
Among mahu menjadi usahawan dan memilih untuk meneroka bidang pertanian di sebalik tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dari sebuah institut pengajian tinggi awam tempatan.
"Semasa belajar di Amerika, saya berpeluang melawat banyak ladang lembu dan jagung. Saya juga pernah bekerja sambilan di ladang dan saya melihat sendiri betapa majunya peladang-peladang di negara itu. Saya diberitahu kerajaan mereka banyak membantu dan memasarkan produk yang dihasilkan.
"Sememangnya jika dibandingkan dengan industri pertanian di tanah air, kita masih jauh ketinggalan. Di situlah datang tekad untuk saya jadikan bidang pertanian sebagai karier saya," jelas Among.
Sekembalinya ke tanah air, Among tidak membuang masa dan mengikuti pelbagai kursus termasuk anjuran Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (Medec), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Perikanan Malaysia.
Antara kursus yang disertainya ialah kursus ternakan ikan dalam sangkar, kursus membuat makanan ternakan, kursus pembenihan ikan, kursus penyakit ternakan kambing dan kursus ternakan kambing peringkat ladang.
"Habis sahaja kursus ternakan ikan, saya buat dulu ternakan kambing pada Disember 2007. Saya beli 20 ekor kambing dari sebuah ladang di Nilai, Negeri Sembilan yang terpaksa gulung tikar. Saya belanja lebih RM5,000 untuk beli kambingkambing ini," kata Among dengan menambah beliau kemudian membeli 39 ekor lagi kambing dengan kos kira-kira RM15,000.
Pada peringkat awal, Among menempatkan kambingkambingnya di tanah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Lembah Jaya, kirakira 5 km dari rumahnya.
Rutin kerjanya bermula selepas subuh termasuk menyabit rumput untuk makanan kambing-kambingnya.
"Usaha awal saya berjaya, kambing membiak dan gemuk-gemuk. Saya mendapat bantuan emak dan pakcik saya serta adiknya. Cuma bila pindah ke kandang baru, tidak jauh dari kandang asal, kambing banyak mati. Kini saya memindahkan kesemua kambing yang ada di kandang yang baru berhampiran rumah emak saya. Makanan yang diberi sama, mungkin tapak kandang tak serasi," katanya.
TAK SEMUDAH

Menurut Among, dia hampir berputus asa bila banyak kambing ternakannya mati dan bantuan yang diharapkan daripada jabatan yang berwajib tidak diterima secepat yang diharapkan.
Hasil penat lelahnya, Among kini mempunyai kira-kira 100 ekor kambing daripada pelbagai jenis termasuk kambing biribiri dan kambing Feral dari Australia, kambing Jamnapari dari Indonesia, kambing Katjang (baka kacukan tempatan dan Anglo Nubian) dan kambing Boer.
Beliau juga membuka sebuah ladang di Jelebu, Negeri Sembilan untuk ternakan kambing biri-biri yang kini berjumlah 37 ekor dan dijaga oleh pakciknya.
Menurut Among, hasil jualan kambing dan ikan keli tahun lalu membolehkan beliau membeli sebuah lori untuk kegunaan bisnesnya.


PELBAGAI AKTIVITI

Among kini mengorak langkah mempelbagaikan ternakannya dengan mengusahakan ternakan ikan keli di tanah berhampiran ladang kelapa sawit milik pakciknya.
Beliau bermula dengan 100,000 anak ikan keli yang dipeliharanya di tiga buah kolah batu termasuk sebuah kolam tanah untuk asuhan anak benih sehingga tahap matang.
"Saya ternak ikan keli ini untuk mendapatkan aliran tunai. Sekarang, tiap-tiap hari ikan boleh dijual. Purata dalam sebulan saya boleh dapat antara RM1,000 hingga RM2,000," katanya sambil berkata, dia juga menjual ikan keli salai dengan harga RM18 sekilo.
Among mempunyai rancangan besar untuk perniagaan ternakannya, cuma kekangan utama ialah aliran wang tunai.
Jadual kerja Among sememangnya padat, bermula sebaik selepas subuh hinggalah tengah malam. Kambing-kambingnya bukan sahaja perlu diberi makan tiga kali sehari tetapi kandang juga perlu dibersihkan.
Di antara kesibukan di kandang kambing, beliau akan menjengah kolam-kolam ikan kelinya yang terletak kirakira 200 meter dari kandang kambingnya.
"Memang banyak kerja yang perlu dibuat. Hujung minggu kerja, Hari Raya pun kerja. Kalau hendak berjaya, mesti belajar dan buat sendiri. Kena tahu apa nak buat kalau kambing sakit, kalau kambing nak beranak, kena ada pengetahuan.
"Saya biasa buat kerja dari peringkat bawah lagi. Semasa di Amerika, saya pernah bekerja dengan sebuah restoran pizza. Saya bermula daripada mencuci lantai dan pinggan sehinggalah saya diberi kepercayaan menjadi pengurus.
"Apa yang saya belajar ialah dalam apa juga pekerjaan, kita mesti handson, kita mesti tahu selokbelok semua kerja, baru kita boleh pergi jauh," katanya sambil menjelaskan beliau mendapat bantuan ibu dan adiknya jika dia perlu meninggalkan ladang untuk urusan luar.
Isterinya, Zaibedah Zaharum, ialah pensyarah di UiTM, Segamat, Johor.
PELAN LIMA TAHUN

Among mempunyai rancangan besar iaitu mahu menjadikan Pelangai pusat ternakan dan pengeluar kambing utama di negeri Pahang.
Beliau meletakkan sasaran untuk memiliki kira-kira 5,000 ekor kambing dalam masa lima tahun di samping mengumpulkan penternak-penternak kecil di kawasan sekitar di bawah satu konsortium.
Di samping menambah baka kambing yang berkualiti, beliau juga mahu menubuhkan sebuah syarikat perdagangan.
"Saya sudah mengenal pasti seseorang untuk menjadi rakan kongsi bagi tujuan ini. Di bawah syarikat ini, saya rancang nak buat lelongan bukan sahaja ternakan termasuk kambing, lembu atau kerbau tetapi juga hasil pertanian yang lain.
"Syarikat saya akan mengendalikan rumah lelongan ini dan setakat ini, belum ada rumah lelongan di Malaysia. Mungkin lelongan ini kita boleh buat empat kali setahun.
"Kita juga boleh buat jualan secara online (internet)," katanya
sumber dari mstar online .